fb fb fb fb fb

Tidak digalakkan guna baja tinja ayam - Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu

BAGAN SERAI, 13 Disember - Penggunaan baja tinja ayam adalah tidak digalakkan meskipun tiada sebarang peruntukan undang-undang bawah bidang kuasa kementerian itu yang menghalang penggunaan baja berkenaan secara meluas dalam sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, baja itu boleh mendatangkan jangkitan penyakit kepada manusia, ketidakselesaan kepada orang ramai kerana berbau busuk dan berpotensi menyebabkan kelecuran sekiranya bersentuhan dengan tanaman.

"Aduan boleh dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut, dan sekiranya berlaku gangguan bau di sesuatu kawasan, maka mana-mana individu yang melaksanakan aktiviti pertanian ini boleh disiasat di bawah Seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)," kata Mohamad selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Keusahawanan dan Kurikulum di Maahad Al-Ehya Assharif Gunung Semanggol di sini malam tadi, yang turut dihadiri lebih 300 tetamu.

Beliau mengulas aduan dibuat peniaga gerai makanan di sekitar Parit Haji Aman dan Parit Haji Tahir di sini berkenaan kacau ganggu lalat dan pencemaran bau ekoran penggunaan tinja ayam di sebuah kebun sayur yang diusahakan etnik Rohingya.

Sementara itu, bercakap mengenai kegiatan pertanian dijalankan etnik Rohingya berdekatan kedua-dua lokasi terbabit, beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan lokasi berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ia merupakan kawasan rizab tali air yang dimiliki sepenuhnya JPS. Tindakan sewajarnya mungkin boleh dilakukan oleh pihak berwajib berkaitan untuk melihat perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.

TETITIA YUSOFF