(Tangkap layar video tular kanak-kanak warga asing diselamatkan selepas ditemui terperangkap
dalam kontena di Pelabuhan Klang)
JOHOR BAHRU, 20 Januari- Tiada unsur jenayah pemerdagangan manusia dikesan susulan penemuan seorang kanak-kanak lelaki warga asing di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, pelabuhan Klang, Selangor malam semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak lelaki dikenali Fahim itu ditemui dalam salah sebuah kontena yang dibawa dari Bangladesh.
Laporan polis sudah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Setakat ini, kanak-kanak itu dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan selepas dilaporkan demam dan proses penghantran pulang dibuat mengikut saluran undang-undang.
"Kita tidak buat kesimpulan kepada aspek pemerdagangan manusia lagi kerana siasatan awal mendapati dia masuk ke dalam kontena tersebut kemudian dia tertidur, tiba-tiba dia sampai ke sini," katanya.
Terdahulu, video kanak-kanak berdurasi 56 saat itu tular di media sosial selepas kanak-kanak mengetuk kontena berkenaan dan dipercayai sudah terkunci selama enam hari.
(Datuk Seri Saifuddin Nasution ditemui media selepas melawat Kompleks Imigresen,
Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pagi tadi)