fb fb fb fb fb

Tiada sambutan Ambang Tahun Baharu, tanda solidariti kepada Palestin

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

SHAH ALAM, 29 Disember -Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini ditindas dengan kejam oleh rejim zionis Israel dan juga menghormati penduduk terjejas banjir di beberapa negeri.

"Saya rasa pihak kerajaan tidak akan mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu, tapi mungkin di peringkat kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mereka mungkin adakan program-program yang mungkin bersesuaian dengan keadaan setempat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), di sini.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 pada Ahad ini di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai alternatif untuk masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN