
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung susulan serangan di Yala, Narathiwat dan Pattani, di selatan Thailand, pada awal pagi Ahad (11 Januari 2026).
- Kementerian Luar sahkan tiada rakyat Malaysia terjejas susulan serangan di Yala, Narathiwat dan Pattani.
- Rakyat Malaysia dinasihatkan berwaspada dan elak kawasan berisiko tinggi.
- Ikut arahan pihak berkuasa tempatan dan rujuk saluran rasmi untuk maklumat terkini.
- Maklumat bantuan konsular Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla disediakan untuk dihubungi.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan menasihatkan, rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan berisiko tinggi.
“Selain itu, rakyat Malaysia diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan secara rapi dan akan menyalurkan makluman terkini sekiranya perlu.
“Orang ramai boleh menghubungi bantuan konsular Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66) 74316274 atau +(66) 819901930 atau talian tambahan +(66) 74324004 atau +(66) 74312353 serta melalui e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my.
Terdahulu media melaporkan, sebanyak 11 stesen minyak di tiga wilayah selatan Thailand diserang serentak dengan bahan letupan dalam satu perbuatan khianat pada awal pagi tadi.
Markas Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati serangan itu dilakukan oleh kumpulan bersenjata bertopeng yang menyasarkan lima stesen minyak PTT di Narathiwat, empat di Yala dan dua lagi di Pattani kira-kira pukul 1.10 pagi.