fb fb fb fb fb

Tiada permit import MAQIS, sosej daging babi, ayam dirampas

SEPANG, 7 Februari- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mematahkan cubaan membawa masuk sosej daging babi dan ayam dari China.

Ia dikesan menerusi pemeriksaan rutin terhadap seorang wanita warga asing berusia 28 tahun di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada jam 2.00 pagi.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim dalam kenyataan memaklumkan, menerusi pemeriksaan tersebut, pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia menemui 40 sosej daging babi dan 10 ekor ayam yang dianggarkan bernilai RM400.00 di dalam kotak gabus.


(Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim)

Tambahnya, produk daging babi dan ayam tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan telah dirampas kerana tidak mempunyai Permit Import MAQIS dan sebarang Sijil Kesihatan daripada negara asal.

Kesemua produk daging babi tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persampelan bagi mengekang sebarang penularan penyakit African Swine Fever, sekiranya daging berkenaan dijangkiti.

Beliau menerusi kenyataan sama turut menegaskan, perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma tanpa permit import yang sah daripada Maqis adalah menjadi satu kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

Media Baharu