fb fb fb fb fb

Sasar 200,000 penumpang harian MRT laluan Putrajaya, dalam masa dua tahun - Anthony

SUNGAI BULOH, 7 Februari- Kementerian Pengangkutan menyasarkan 200,000 jumlah penumpang harian bagi Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya, dalam masa dua tahun.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata status MRT 2 kini telah mencapai 99.9 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Mac depan.

Projek MRT Laluan Putrajaya itu menelan belanja sebanyak RM30.53 bilion untuk kos sistem dan pembinaan yang meliputi 36 stesen melibatkan 49 set kereta api.

Pihaknya juga merancang memperluas stesen Titiwangsa untuk dijadikan hab utama pengangkutan awam di Lembah Klang.

"Stesen itu merupakan satu stesen yang sangat utama, kerana pada ketika ini sudah ada 'interchange' dengan Monorel dan juga LRT. LRT Ampang line sekarang ini dan juga Monorel.

"Dengan adanya pembukaan MRT 2 ini, maka ada tiga mod di sana iaitu MRT 2, LRT dan juga Monorel.

"Dan untuk masa hadapan, MRT 3 juga akan ada 1 stesen, di kawasan atau pun stesen Titiwangsa tersebut," katanya.

(Anthony Loke Siew Fook)

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Depoh MRT Sungai Buloh selepas mengadakan lawatan kerja ke MRT 2 dari Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.

Tambah Anthony, sebuah pusat Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) turut akan dibangunkan berhampiran stesen tersebut.

Katanya, sebanyak 107 bas pengantara disediakan bagi menyokong perkhidmatan MRT2 dalam menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut. 

Selain stesen Titiwangsa, stesen yang turut diberi perhatian ialah stesen Hospital Kuala Lumpur ekoran kawasan itu sentiasa sesak dari segi parkir dan lalu lintas.

Media Baharu