fb fb fb fb fb

Tiada mogok Doktor Kontrak,Operasi fasiliti kesihatan di Terengganu lancar

(FOTO RTM)

KUALA TERENGGANU, 3 April-Operasi fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik kesihatan kerajaan di Terengganu berjalan seperti biasa dan lancar disebalik rancangan mengadakan mogok kumpulan doktor kontrak yang bermula hari ini sehingga Rabu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata semua enam hospital dan klinik kesihatan di Terengganu beroperasi seperti biasa.

" Setakat ini di Terengganu, tiada doktor kontrak yang terlibat mogok di mana-mana hospital atau klinik kesihatan dan operasi perkhidmatan berjalan lancar", katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, tinjauan RTM di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati keadaan tenang dan pesakit mendapatkan rawatan seperti biasa.

Sebelum ini media tempatan melaporkan Mogok Doktor Malaysia merancang mogok selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.

Kumpulan tersebut turut memberi amaran kepada orang ramai tentang masa menunggu yang lebih lama di hospital dan klinik kerajaan pada tarikh berkenaan.

"Rakyat Malaysia, jangan melawat (pergi) mana-mana hospital besar atau klinik kesihatan (klinik kesihatan awam) daripada 3 hingga 5 April kerana lebih 8,000 doktor kontrak akan mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah.

"Masa menunggu anda lebih lama berbanding biasa," kata Mogok Doktor Malaysia dalam akaun Instagram.


(Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong/FOTO RTM)

Media Baharu