KANGAR, 21 Mei- Isu bekalan Gula tidak menjadi masalah di Perlis berikutan empat pemborong sedia ada di negeri itu menerima gula daripada dua syarikat pengeluar utama iaitu MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR).
Sejak semalam hampir 390,000 kilogram gula diterima.
Menurut Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis Norazah Jaapar, "peniaga tidak perlu mencatu jualan gula kepada pengguna dan pengguna dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong utama di negeri ini."
Secara purata, gula yang dibekalkan di negeri itu adalah sekitar 300,000 kilogram sebulan, namun jumlah itu meningkat melebihi 380,000 kilogram.
Ia berikutan penutupan sementara kilang pengeluar di Kuala Nerang yang perlu melakukan pengantian komponen alat ganti dan dijangka beroperasi semula pada Jun ini.
"Sebenarnya tidak berlaku isu kekurangan gula itu, bekalan gula adalah stabil. Cuma kita minta kepada peruncit-peruncit untuk datang kepada pemborong kita.
"Jika tidak pasti boleh berhubung dengan pihak KPDN Perlis untuk dapatkan bekalan," katanya di sini.
Jelasnya, sebelum ini bekalan gula terganggu disebabkan permintaan orang ramai dan juga pada musim perayaan.
Bagaimanapun, peniaga dinasihatkan supaya tidak menaikkan harga gula sewenang-wenangnya dan menyorokkan bekalan berkenaan bagi menglakkan dikenakan tindakan.
KPDN Perlis turut menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan gula mencukupi dan pembeli digalakkan untuk mendapatkan berita daripada sumber sahih.
(Foto hiasan)