fb fb fb fb fb

Tiada kompromi bagi kesalahan langgar lampu isyarat merah

BALING, 30 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap pengguna jalanraya yang mementingkan diri sendiri serta tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu isyarat merah.

Menerusi operasi di lampu isyarat Taman Perwira, Kuala Ketil di sini, sebanyak 13 notis saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 54 Saman yang telah dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BPSTD) Baling melibatkan pelbagai kesalahan.

(FOTO FAIL)

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata sasaran penguatkuasaan adalah terhadap pemandu kenderaan yang mengabaikan peraturan lalu-lintas dengan melanggar lampu isyarat merah lebih-lebih lagi ketika keadaan trafik sesak pada waktu puncak.

Ini kerana kesalahan tersebut menjejaskan aliran trafik dan secara tidak langsung boleh mencetuskan kemalangan jalan raya.

Penguatkuasaan operasi ini dijalankan bagi mengambil tindakan disamping memberi kesedaran kepada pengguna jalanraya bahawa sikap pentingkan diri dengan mengabaikan peraturan lalu lintas boleh mengundang padah dan mengakibatkan berlakunya kemalangan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk menjadi pemandu yang berhemah dan bertimbang rasa semasa memandu.

Media Baharu