fb fb fb fb fb

Tiada keperluan longgar undang-undang buru buaya

Foto fail/BERNAMA

KUCHING, 2 Oktober -Tiada keperluan untuk melonggarkan undang-undang memburu buaya di Sarawak kerana peruntukan sedia ada di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 sudah mencukupi bagi mengawal populasi reptilia itu, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.

Beliau berkata kawalan dan pemantauan berkaitan reptilia itu telah pun dilaksanakan secara bersepadu, termasuk melalui mekanisme pengeluaran lesen khas, program konservasi serta tindakan pemindahan di kawasan yang dikenal pasti berisiko.

“Setakat ini, lebih 70 permit atau lesen khas telah dikeluarkan, namun hanya dua atau tiga sahaja yang aktif. Hal ini kerana dalam kalangan masyarakat bumiputera seperti Melayu, Melanau dan Iban masih wujud kepercayaan tabu untuk memburu buaya, selain faktor kos yang tinggi,” katanya ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Media anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) di sini malam tadi.

Len Talif berkata sejak 2016, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam Pupus (CITES) menetapkan buaya di Sarawak bukan lagi haiwan dilindungi, sekali gus membolehkan permit khas dikeluarkan di bawah ordinan berkenaan untuk aktiviti pemburuan secara terkawal sama ada bagi tujuan perdagangan kulit atau daging.

Kerajaan negeri, katanya sedia mempertimbangkan cadangan untuk menyalurkan insentif khas kepada pemegang lesen pemburuan buaya pada masa depan, namun, buat masa ini tanggungjawab utama membabitkan kawalan populasi reptilia berkenaan telahpun dilaksanakan oleh Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) menerusi program pemindahan dan pemburuan terkawal.

“Kita tidak mahu hebohkan usaha yang kita telah pun jalankan melibatkan SFC kerana terdapat segelintir pihak dalam masyarakat yang kurang senang jika usaha itu dilihat sebagai satu bentuk kekejaman terhadap haiwan.

“Kita ingin jelaskan langkah ini bukan soal kebencian kepada buaya, sebaliknya demi keselamatan memandangkan reptilia itu boleh mengancam komuniti tertentu khususnya yang menggunakan laluan sungai dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata pendekatan konservasi turut diperkukuh dengan penyediaan kawasan khas untuk penempatan buaya, pemasangan papan tanda keselamatan di kawasan berisiko, selain aplikasi mudah alih CrocWatch yang membolehkan orang ramai melaporkan penampakan buaya berserta koordinat lokasi.

“Usaha ini penting kerana masih ramai penduduk Sarawak bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki dan laluan pengangkutan harian.

“Dengan penglibatan masyarakat dan data CrocWatch, kita dapat mengenal pasti kawasan kehadiran buaya serta mengelakkan interaksi berbahaya antara manusia dan reptilia ini,” katanya. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF