KUCHING, 2 Oktober - Hospital Umum Sarawak (HUS) melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan intrauterin (fetal) spina bifida pertama di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr sim Kui Hian melalui sebuah hantaran di facebook berkata, pembedahan tersebut telah dilakukan pada 22 September lepas.
"Pembedahan ke atas bayi dalam kandungan seorang ibu hamil 26 minggu yang dirujuk dari kuantan ini bagi membaiki kecacatan tulang belakang terbuka yang dikenali sebagai myelomeningocele.
"Pembedahan kompleks ini dilakukan antara 19 hingga 26 minggu kehamilan dan berpotensi untuk meningkatkan fungsi saraf bayi, mengurangkan keperluan alat bantuan berjalan, dan mengurangkan risiko hidrocefalus", katanya.
Dr Sim merakamkan tahniah kepada pasukan pakar HUS bersama pakar Australia, dengan sokongan warga HUS yang bersama-sama dalam kejayaan itu.