fb fb fb fb fb

Tiada keperluan JAKIM bekerjasama dengan PBT dalam pemberian sijil halal

(Datuk Idris Ahmad ketika ditemui pemberita RTM)

PERAK, 22 Ogos- Tiada keperluan bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memudah cara pemberian sijilĀ halal kepada pengusaha perusahaan mikro dan kecil (PMK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini berikutan proses permohonan dan kelulusan sijil halal merupakan proses yang mudah.

Jelas beliau, pemohon hanya perlu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum sijil halal diluluskan.

Menurut Datuk Idris Ahmad, "Sebenarnya mudah, tidak payah pun, tapi kena ikut syarat-syarat, bukan kita nak bagi sembarangan, sebab tu di Malaysia ni, saya pergi di seluruh negara-negara orang Islam, apabila sebut tentang halal Malaysia ni, memang halal yang dihormati oleh negara-negara Arab yang mereka letakkan Malaysia ni piawai yang begitu standard kualiti cukup dijaga."

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Bantu Rakyat, Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Tinggi, Trong.

Sebelum ini, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dr. Abdul Halim Husin mencadangkan agar kerjasama dijalin antara JAKIM dan PBT bagi memudahkan PMK mendapatkan sijil halal.

(Datuk Idris Ahmad bersama penduduk di Program Jualan Bantu Rakyat, Parlimen Bukit Gantang)

Media Baharu