fb fb fb fb fb

Tiada kenderaan asing isi RON95 di Johor

JOHOR BAHRU, 3 April- Tiada kenderaan pendaftaran asing membuat pengisian minyak RON95 di stesen-stesen minyak negeri Johor, seperti yang tular di media sosial dan siaran beberapa akhbar, selepas sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka.

Pemantauan dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Johor, mendapati tiada aktiviti berkenaan, manakala penjualan di tahap memuaskan.

Menerusi kenyataan Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, semua stesen diperiksa turut diingatkan untuk mematuhi undang-undang Akta Kawalan Bekalan 1961, jika melibatkan kenderaan pendaftaran asing.

Iaitu dilarang membeli Petrol RON95; dibenarkan membeli Diesel sekali sehari yang dihadkan 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer pintu sempadan Malaysia-Singapura; dan dibenarkan membeli Petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan.

Pemantauan berterusan akan dibuat 200 anggota penguatkuasa KPDNHEP di stesen-stesen minyak terutamanya stesen berhampiran sempadan, bagi memastikan tidak berlaku ketirisan barang kawalan.


(Pemantauan oleh KPDNHEP Johor)

Media Baharu