fb fb fb fb fb

Tiada isu warga Brunei beli diesel di Sarawak

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali /Foto BERNAMA

MIRI, 26 Ogos-Tiada isu warga Brunei untuk membeli diesel di Sarawak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut Armizan,rakyat Brunei Darussalam boleh mengisi penuh minyak diesel ke dalam tangki kenderaan mereka di stesen-stesen minyak yang beroperasi melebihi radius 30 kilometer dari sempadan Malaysia-Brunei.

Jelas Armizan, penjualan diesel hanya dihadkan kepada 20 liter di dalam radius 30 kilometer dari sempadan.

"Apa yang berlaku sebenarnya adalah wujud salah faham pengusaha stesen-stesen minyak tertentu di luar daripada radius 30 kilometer tidak ada larangan dari segi maksimum dengan syarat ia perlu diisi di tangki minyak kenderaan yang berkenaan.

"Jadi sebenarnya tidak ada isu yang seharusnya timbul berkenaan dengan penjualan bahan api diesel kepada mana-mana kenderaan daripada Brunei di seluruh negeri Sarawak", katanya pemberita selepas Mesyuarat Bersama Agensi di sini.

Selain itu katanya, terdapat syor supaya kerajaan mempertimbang kebenaran untuk kenderaan Brunei membeli petrol RON95.

Tambah Armizan, cadangan tersebut akan diperhalusi melalui libat urus dengan Kementerian Kewangan.

Baru-baru ini tular di media sosial satu konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menyertai acara ‘off-road’ di Sarawak berdepan kesukaran apabila stesen minyak di laluan tersebut enggan menjual diesel kepada kenderaan asing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD