TANJUNG MALIM, 26 Ogos-Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini melancarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berkredit untuk 20 guru takmir dari zon utara, bertempat di Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini.
Ketua Jabatan Bahasa Moden UPSI, Dr. Taj Rijal Muhamad Romli berkata program berkenaan bertujuan untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua golongan tanpa mengira umur.
“Melalui program ini, peserta dan guru yang menyertai program ini akan dijangka dapat membawa ilmu, termasuk kaedah pembelajaran terkini, kembali ke komuniti masing-masing, membantu meningkatkan tahap pendidikan di negara ini,” katanya yang ditemui media di sini.
Jelas Dr Taj Rijal, program yang dilaksanakan secara dalam talian itu turut mendedahkan para peserta kepada pelbagai modul yang merangkumi pelbagai bidang ilmu, termasuk kaedah pembelajaran terkini yang relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.
"Peserta juga didedahkan dengan pelbagai sumber kitab Turath Islam dan juga penggunaan AI seperti chatgpt dalam menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat ini", katanya.
Sementara itu Pegawai Penyelaras Takmir Negeri Perak, Haji Azmi Haji Masjuri yang ditemui berkata pentauliahan bukan sahaja untuk meningkatkan kredibiliti Guru Takmir , tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Guru Takmir memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman kerana kompetensi dan kefahaman yang mendalam terhadap ilmu agama adalah sangat penting.
Menurutnya, Guru Takmir harus sentiasa berusaha untuk mengembangkan potensi diri mereka agar dapat menyampaikan ilmu yang terbaik kepada masyarakat.
“Para peserta perlu terus berusaha dalam meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui latihan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.