PUTRAJAYA, 3 September - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu menghalang bekas Perdana Menteri itu untuk 'bersuara' serta mengutarakan pandangan atau sebarang kenyataan secara terbuka.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, tiada sekatan mahupun halangan dalam kebebasan bersuara di negara ini.
Malah menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, bekas Perdana Menteri itu masih bebas melakukan apa sahaja tanpa sebarang sekatan dan halangan hingga ke hari ini.
"Ala kesian Dr Mahathir, beliau masih boleh bersuara dan tidak ada sesiapa yang menghalang beliau daripada mengeluarkan kenyataan ataupun sesiapa menghalangnya daripada menghadiri mana-mana acara.
" Beliau masih bebas bergerak, beliau masih bebas untuk hadir ataupun tidak hadir, masih bebas untuk mengeluarkan kenyataan," kata Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Kementeriannya, di sini.
Sementara itu, sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media diperluas kepada pengguna pelan prabayar.
Fahmi menjelaskan, sebelum ini insentif itu hanya dinikmati para pengamal media yang menggunakan perkhidmatan pascabayar sahaja, seperti yang dilaksanakan tahun lalu.
"Ada sejumlah pengamal media yang memaklumkan mereka tidak menggunakan pelan pascabayar. Jadi kami telah mendengar, menerima pandangan itu dan saya telah meminta supaya pihak kementerian berhubung dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.
"Maka semua pengamal media tahun ini akan mendapat rebat sama ada mereka menggunakan pelan pascabayar ataupun prabayar," katanya.