fb fb fb fb fb

Thailand peruntuk RM13.8 juta promosi Pesta Songkran

Foto fail/AFP

BANGKOK, 20 Februari- Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan 104 juta baht (RM13.8 juta) bagi mempromosikan “Festival Air Sedunia Maha Songkran” dari 11 hingga 15 April tahun ini.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Kenika Oonjit berkata festival yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan akan diadakan di Bangkok serta 16 wilayah lain termasuk Chiang Mai, Phuket, Sukhothai dan Nakhon Si Thammarat.

“Festival itu dijangka menarik lebih 200,000 pelancong ke Thailand dan menjana kira-kira 3.1 bilion baht,” katanya pada sidang media di Bangkok.

Kenika berkata festival itu akan mempamerkan perayaan Songkran dari pelbagai wilayah, bertujuan memelihara dan mempromosikan tradisi.

"Kerajaan berharap festival itu akan melonjakkan Thailand antara 10 negara utama yang mempunyai festival kebudayaan terbaik di dunia,” katanya.

Pada 6 Dis tahun lalu, Songkran telah mendapat pengiktirafan dalam Senarai Perwakilan UNESCO Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan.

Minggu lalu, Kabinet meluluskan cuti umum tambahan pada 12 April bagi perayaan Songkran tahun ini, bertujuan untuk merangsang sektor pelancongan dan perkhidmatan swasta.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN