fb fb fb fb fb

Selamat Tinggal, Tok Uban

Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, 87 tahun bukan nama yang asing bagi rakyat di negeri Sarawak.

Pemergiannya awal pagi tadi sudah pasti meninggalkan impak yang besar kepada seluruh rakyat Bumi Kenyalang khasnya, apalagi Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri paling lama berkhidmat iaitu selama 33 tahun.

Dalam kalangan penduduk tempatan, Tun Abdul Taib cukup dikenali dengan nama jolokan 'Tok Uban'.
 
Dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936, Allahyarham merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh selepas Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Menerima pendidikan awal di St Joseph’s Primary School Miri, Tun Abdul Taib kemudian melanjutkan pengajian ke St. Joseph’s Institution Kuching sebelum mengorak langkah ke Adelaide University Australia untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1960.
 
Allahyarham kemudian dilantik sebagai Hakim Bersekutu kepada Tuan Hakim, Herbert Mayo di Australia Selatan.
 
Tun Abdul Taib juga pernah dilantik sebagai Peguam Negara, Sarawak pada 1962 sebelum dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri Sarawak pada 1963.

2102 TAIB BIODATA 2 
Tun Abdul Taib dilantik sebagai Hakim Bersekutu kepada Tuan Hakim, Herbert Mayo di Australia Selatan sebelum 
menjadi Peguam Negara, Sarawak pada 1962 


Tun Abdul Taib kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tanah dan Galian Sarawak dalam kerajaan negeri pimpinan bapa saudaranya, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub.
 
Sebagai individu yang amat berpengaruh dalam politik Sarawak, Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional Sarawak dan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
 
Antara kawasan yang pernah diwakilinya sebagai wakil rakyat ialah Parlimen Kota Samarahan, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebandi, DUN Asajaya dan DUN Balingian.
 
Allahyarham merupakan Ketua Menteri Sarawak yang keempat, mula mengetuai pentadbiran negeri pada 26 Mac 1981 dan meletak jawatan pada pada 28 Februari 2014 sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Atas jasa dan khidmat baktinya, beliau menerima anugerah Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun pada 26 Mei 2014.
 
Allahyarham berkhidmat untuk tempoh tiga penggal sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dengan lantikan pertama pada 1 Mac 2014 dan berakhir pada Januari 2024 setelah dilantik untuk kali yang ketiga. 

Antara lain, Tun Abdul Taib juga penerima Satria Bintang Sarawak yang membawa gelaran ‘Pehin Sri’ pada 13 September 2003.

Tun Abdul Taib mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Laila Taib yang kemudiannya meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009 selepas 50 tahun melayar bahtera. Pasangan itu dikurniakan empat anak.

Pada 18 Disember 2010, Tun Abdul Taib telah mengahwini Ragad Waleed Al-Kurdi.


2102 TAIB DIODATA 1 
Tun Abdul Taib dikenali sebagai seorang pemimpin yang mudah mendekati rakyat

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE