fb fb fb fb fb

Thailand, Kemboja digesa tidak lakukan tindakan ketenteraan lanjut

Misi disokong pemantauan satelit yang disediakan Amerika Syarikat / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa 10 malam ini.

Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan.

Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan misi berkenaan, akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.

Dapatan pemantauan lapangan dan satelit itu akan dikumpulkan AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung Selasa ini, (16 Disember).

Laporan berkenaan, bakal memberi gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau.

Gesaan Kuala Lumpur itu, susulan perbincangan Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan Kemboja–Thailand.

Datuk Seri Anwar juga telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

FAUZIAH ABD RAHMAN