fb fb fb fb fb

Peruntukan subsidi PJRM Labuan 2025 cecah RM2.2 juta

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta pada tahun 2025 bagi menampung subsidi barangan terpilih di bawah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Labuan/Foto RTM

LABUAN, 13 Disember - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta pada tahun 2025 bagi menampung subsidi barangan terpilih di bawah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Labuan, lebih dua kali ganda berbanding peruntukan tahun sebelumnya.

Peruntukan tersebut membolehkan pengguna menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran bagi barangan keperluan harian terpilih.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain berkata sepanjang tahun ini sebanyak 148 program PJRM telah dilaksanakan, dengan 138 daripadanya diadakan di premis pasar raya, manakala selebihnya di luar premis serta di kampus institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, bekalan barangan keperluan harian di Labuan berada dalam keadaan mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan pengguna.

1312 LBN PJRM MEGA 2025 2Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain/Foto RTM

“Sebenarnya pelaksanaan PJRM telah melebihi sasaran yang ditetapkan. Jika mengikut sasaran asal, hanya sekitar 80 program diperlukan, namun melihat kepada permintaan warga Labuan dan keperluan semasa, kita melaksanakan program ini secara mingguan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra Program Jualan Rahmah MADANI Mega bersempena ‘Kembali ke Sekolah dan Perayaan Krismas 2025’ yang berlangsung di Dewan Arena Bukit Kuda, di sini.

Dalam pada itu, Junaidah memaklumkan penggunaan aplikasi Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (eCOSS) berjalan lancar dan telah digunakan oleh pengguna di semua pasar raya di Labuan.

Selain itu, KPDN Labuan terus komited melaksanakan pemantauan, penguatkuasaan serta pemeriksaan terhadap premis perniagaan di sekitar pulau ini bagi memastikan pematuhan undang-undang.

Menurut beliau, sebanyak 150 kes tindakan telah direkodkan setakat ini, melibatkan pelanggaran di bawah Akta Kawalan Bekalan, pelaksanaan Ops Tiris serta kes berkaitan kawalan harga.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN