KUALA LUMPUR, 24 Februari - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun 2021.
Agihan sebanyak RM2.46 billion itu akan dibayar kepada lebih 8.4 juta pendeposit.
Jumlah itu adalah RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 billion yang diagih bagi tahun kewangan 2020.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Idris Ahmad berkata agihan tersebut setelah mengambil kira zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit TH.
"Prestasi TH 2021 dalam keadaan ekonomi yang mencabar mencerminkan usaha berterusan ahli lembaga, ahli panel pelaburan, pihak pengurusan kanan dan seluruh anggota Tabung Haji untuk memastikan penjanaan pulangan yang baik dan berterusan. Saya percaya bahawa kejayaan TH adalah kejayaan semua pihak," kata Idris dalam sidang media Majlis Agihan Keuntungan Tabung Haji 2021 di ibu negara.
Menurutnya, kadar pulangan 2021 dicapai ketika persekitaran perniagaan serta pasaran sukuk dan saham yang mencabar tahun lalu.
Kedudukan kewangan TH juga kekal kukuh dengan aset bernilai RM88.73 bilion yang melebihi liabiliti berjumlah RM85.51bilion pada 31 Disember lalu.
Jumlah simpanan deposit dijamin kerajaan mencecah RM83.33 bilion, kadar tertinggi dalam sejarah TH.