fb fb fb fb fb

TH kendali permohonan masuk ke Raudah, Masjid Nabawi

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin

MADINAH, 6 Mei- Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengendalikan permohonan melalui aplikasi Nusuk bagi membolehkan kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia berpeluang menziarahi kawasan Raudah di Masjid Nabawi. 

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin berkata permohonan itu bagaimanapun hanya akan dibuat selepas jemaah haji tiba di Madinah. 

Jelasnya, permohonan dilakukan mengikut kumpulan penerbangan jemaah haji dan disusun mengikut tarikh ketibaan mereka.

"Jadualnya itu akan diberikan kepada pihak zon tempat mereka menginap. Ia bagi membuat aturan pergerakan yang mana kita ketahui bahawa pergerakan jemaah haji untuk menziarahi Raudah ini adalah dikawal dan disusun oleh pengurusan pihak Masjid Nabawi."

"Terdapat perbezaan jadual di antara jemaah haji kumpulan lelaki dan kumpulan jemaah haji wanita dan masa juga berlainan. Setiap kumpulan ini akan dipimpin oleh pembimbing ibadat haji tanah suci iaitu guru agama," kata Ashrof kepada pemberita di Madinah.

Dalam pada itu, TH akan melakukan penilaian kesihatan terhadap jemaah haji yang berusia, sebelum mereka dibawa menziarahi kawasan Raudhah.

Sekiranya jemaah tidak mempunyai waris bersama mereka, pihak TH akan menyediakan petugas bagi membantu pergerakan dari hotel ke Masjid Nabawi selain menyediakan perkhidmatan kerusi roda.

Kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji negara tahun ini berusia 60 tahun ke atas.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM