fb fb fb fb fb

'Tak mampu bersaing EV China' - Anwar kongsi sebab Tesla batal rancangan

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Kegagalan Tesla menyaingi kenderaan elektrik (EV) keluaran syarikat dari China menjadi punca pembatalan rancangan syarikat tersebut mengembangkan operasi pengeluaran produknya di rantau ini.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul.

"Tengku Zafrul telah mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla), kerana mereka telah mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China.

"Operasi mereka di Thailand adalah besar, (sedangkan) kita baru nak mula.

"Jadi itu penerangan langsung daripada Tesla, bukan daripada liputan (media) lain. Itu penerangan Tesla," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, di sini, hari ini.

Rabu lalu, portal berita Thailand, The Nation melaporkan Tesla telah membatalkan rancangan untuk membina kilang pembuatan EV di Malaysia, Thailand serta Indonesia dan sebaliknya menumpukan pada pembangunan stesen pengecasan.

Sementara Tengku Zafrul menerusi platform X semalam menyatakan Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.

Beliau menjelaskan MITI ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

SITI AISHAH MD ISA