fb fb fb fb fb

Terbangkan helikopter ambil pesanan nasi kandar, juruterbang bergelar Datuk didakwa

IPOH, 9 Mei- Seorang juruterbang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan tidak mematuhi pelan penerbangan, pada Julai tahun lalu.

Tertuduh Datuk Mohamed Raffe K. Chekku, 53 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut pertuduhan, beliau yang juga pengarah sebuah syarikat didapati telah melanggar kaedah-kaedah udara yang dikemukakan dengan membuat pendaratan sebuah pesawat di lokasi selain 'aerodrome' yang dinyatakan dalam 'flight plan'.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh ketika mengambil pesanan nasi kandar antara 9.50 hingga 10 pagi di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan, 23 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah peraturan 77(2) peraturan-peraturan penerbangan awam 2016 dan boleh dihukum di bawah peraturan 206(3)(a) peraturan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jane Sharmila Jesudason manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


(Tertuduh Datuk Mohamed Raffe K. Chekku dibenarkan ikat jamin RM5,000)

Media Baharu