KUCHING, 13 Oktober– Kain tenun songket hasil kerja tangan penghuni Penjara Puncak Borneo bukan sekadar karya seni namun berpotensi untuk mempromosi budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata ini kerana setiap helaian songket mencerminkan kehalusan seni serta produk kekayaan budaya negeri ini.
“Tenunan itu merupakan simbol jati diri. Bagi orang yang tahu mengerti dan mencari makna, dia kata ini satu jati diri. Tengok kehalusan seni, ketekunan sang penenun, dan cerminan kekayaan budaya masyarakat Sarawak.” katanya semasa merasmikan Kompleks Songket Sri Kenyalang di Penjara Puncak Borneo, Kuching.
Tambah beliau, hasil tenunan dari institusi pemulihan kini turut dijadikan cenderamata rasmi kepada tetamu antarabangsa, sekali gus memperkenalkan hasil kraftangan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Langkah ini bukan sahaja mempromosikan keindahan warisan budaya tempatan, malah memberikan peluang kedua kepada banduan untuk menyumbang semula kepada masyarakat melalui kemahiran yang dipelajari.
Ini termasuk produk-produk songket dan kayu ukiran masing-masing dari Penjara Kajang,Penjara Marang dan Penjara Pengkalan Chepa yang mampu menjadi tarikan yang amat bernilai.