KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) disaran mengambil langkah pencegahan awal terhadap penularan jangkitan Influenza.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya memantau rapi perkembangan penularan penyakit berjangkit itu, meskipun tiada sebarang laporan mengenai penularan berkenaan diterima setakat ini.
Beliau menasihatkan setiap institusi supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan selain bertindak proaktif untuk mengekang penularan Influenza di IPT.
"Kita tidak mengambil mudah dan sedang memantau penularan jangkitan Influenza. Kes ini semakin meningkat dan melibatkan banyak sekolah. Kita dah maklumkan kepada pihak universiti untuk berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan awal untuk mengelakkan penularan Influenza dalam kalangan pelajar universiti pula.
"Kita juga mengingatkan pihak universiti untuk mengambil langkah segera sekiranya terdapat pelajar yang disahkan positif Influenza. Tindakan segera perlu diambil supaya penyakit tersebut tidak merebak hingga menjejaskan operasi universiti," katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak iFUTURE 2025 di sini.
Mengulas mengenai program iFUTURE, beliau berkata pendekatan seumpama itu merupakan usaha membina nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar di universiti, di samping peluang berinteraksi bersama pelajar dari 50 buah negara.
Program itu selaras aspirasi kementerian untuk melahirkan pemimpin pelajar berwawasan global yang menjadi platform wacana intelektual, dialog strategik serta sesi libat urus bersama kepimpinan tertinggi negara, tokoh industri dan pemimpin pelajar antarabangsa.
Lima bidang utama diberi tumpuan termasuk dari sudut masa depan kecerdasan buatan (AI), kesiapsiagaan belia, diplomasi belia dan penglibatan global.
“Jadi mereka dapat berinteraksi dalam tempoh tiga hari, mengenali antara satu sama lain. Inilah pendekatan sebenarnya yang mempunyai impak besar untuk jangka panjang, kerana satu hari nanti mereka juga akan menjadi pemimpin di negara masing-masing,” katanya.
iFUTURE 2025 dianjurkan Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin.