fb fb fb fb fb

Tengkujuh: Bekalan ikan di Pantai Timur tidak terjejas

Foto RTM

KOTA BHARU, 23 Oktober - Bekalan ikan terutama di negeri Pantai Timur dijangka tidak terjejas teruk sepanjang musim tengkujuh akan datang berikutan keadaan cuaca yang masih baik ketika ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata situasi itu berbeza berbanding tahun lepas apabila negeri Pantai Timur sudah dilanda banjir pada Oktober.

"Cuaca ketika ini masih baik dan hanya hujan sekali sekala terutama pada waktu petang," katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra Madani bersama nelayan Kota Bharu sempena perasmian Portable Container Sistem (PCS) Persatuan Nelayan Kota Bharu, di sini.

Menurut beliau, LKIM belum menerima sebarang laporan daripada persatuan nelayan negeri berkait ahli tidak dapat turun ke laut berikutan keadaan laut bergelora.

Muhammad Faiz berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, setakat ini semua jenis bot termasuk kelas A (di pantai barat), kelas B, C dan C2 serta nelayan pesisir pantai masih boleh turun ke laut.

Bagaimanapun menurut beliau, LKIM tetap mengambil langkah kesiapsiagaan dengan sebarang kemungkinan terutama menyimpan stok penimbal bekalan ikan untuk kegunaan musim banjir.
 
"Di peringkat LKIM, kita sudah membuat persediaan termasuk menyimpan bekalan QFISH di beberapa bilik sejuk beku yang disediakan kepada Persatuan Nelayan Kawasan. Ada yang mampu menyimpan sehingga hampir 300 tan metrik QFISH," jelas Muhammad Faiz.

Mengulas lanjut katanya,  setakat ini LKIM telah menempatkan sebanyak 116.78 tan metrik bekalan ikan QFISH di seluruh negara membabitkan lima penyimpan.

Bekalan yang ditempatkan di Ibu Pejabat Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Persatuan Nelayan Negeri Selangor (Penegor), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA), Dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut itu mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.

Muhammad Faiz turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan manipulasi harga ikan pada waktu tertentu terutama pada musim MTL ini.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN