SUBANG JAYA, 2 April- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke kawasan lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights di sini.
Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad pada pukul 2.17 petang.
Tengku Amir Shah kemudian diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat yang juga komander operasi di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Sebelum berangkat pulang, Tengku Amir Shah sempat menyantuni penduduk-penduduk sekitar yang terkesan selama 20 minit.
Sementara itu sebilangan penduduk yang kurang terjejas kebakaran berkenaan meluahkan rasa syukur dan lega apabila diberi peluang untuk masuk ke kediaman masing-masing seketika untuk mengambil dokumen dan barangan keperluan, termasuk haiwan peliharaan.
Penduduk yang masuk ke kediaman terjejas turut dipantau anggota keselamatan.
Seorang penduduk Taman Putra Harmoni Suresh yang ditemui pemberita berkata, dia memuji tindkaan pantas pihak berkuasa dalam pengurusan kebakaran di taman itu.
"Apabila kami keluar dari rumah masing-masing hanya sehelai sepinggang. Hanya berbaju dan seluar sahaja, pintu rumah pun tidak dikunci.
"Jadi saya sempat membawa barang-barang penting yang ingat ada ketika itu. Tindakan pantas pihak berkuasa harus dipuji dalam menangani perkara ini," katanya.
Bagi Noor Azreena pula, haiwan peliharaannya terpaksa ditinggalkan ketika kejadian dan dia hanya menyerahkan semuanya kepada Allah SWT.
"Sebenarnya dalam kereta saya ada cakap dengan suami, kita tidak boleh menjangkakan apa-apa pasal kucing.
"Sebab kucing duduk dekat luar, tetapi semalam apabila dapat masuk sekejap saya tak sangka kucing saya masih hidup. Kucing itu mengiau dan itu membuatkan saya rasa sedih," katanya.
Wakil kediaman penduduk Taman Putra Harmoni dibenarkan masuk ke kediaman masing-masing kira-kira 30 minit secara berperingkat, setelah pihak berkuasa memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.