fb fb fb fb fb

Temu Anwar: PM jawab persoalan anak muda

(Foto AHMAD ROSLI AZIZ)

SINTOK, 8 Julai- Kira-kira 5,000 pelajar dari universiti, politeknik dan sekolah menengah sekitar Kedah dan Perlis serta orang awam hadir ke ‘Temu Anwar @ Kedah’.

Program yang dikendalikan pengacara dan juga pelakon, Fikry Ibrahim selaku moderator itu diadakan di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Temu Anwar merupakan program dialog yang menjadi wadah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat terutama golongan belia untuk mengutarakan persoalan secara langsung kepada beliau.

Menerusi Temu Anwar ini, beliau menyantuni ribuan anak muda khususnya pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi menjawab pelbagai soalan secara santai dan terbuka.

Antaranya isu semasa berkaitan peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi.

Temu Anwar juga dapat memberi harapan baharu dan kepentingan terutamanya kepada anak-anak muda yang bukan hanya membincangkan isu-isu ekonomi masyarakat sahaja, sebaliknya untuk dipertimbangkan supaya dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan anak-anak muda dan komuniti Malaysia.

Pada program sama, perdana menteri turut menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) berjumlah RM350,000 dan juga penyerahan Zakat Pendidikan BIMB berjumlah RM50,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed kepada Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan.

Program yang berlangsung selama satu jam itu disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Temu Anwar telah diadakan di beberapa lokasi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).


(Foto AHMAD ROSLI AZIZ)

Media Baharu