BALIK PULAU, 8 Julai - Kementerian Pengangkutan (MOT) berhasrat untuk memperluaskan jumlah penerima bantuan di bawah program MyLesen B2, tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata untuk itu pihaknya akan mengadakan rundingan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi memohon peruntukan sebanyak RM10 juta berbanding RM2.7 juta yang diterima tahun ini bagi tujuan tersebut.
Katanya, peruntukan itu mampu memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang menerusi program tersebut.

“Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat akan kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan belia.
"Memang dari segi jumlahnya kita tidak dapat menampung ramai, peruntukan itu hanya cukup untuk 9,000 orang sahaja dan untuk tahun depan kita akan tambah bilangan yang boleh kita berikan melalui program ini ," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 peringkat negeri Pulau Pinang, di sini.
Tambah Loke, program MyLesen B2 itu juga merupakan komitmen dan usaha cakna Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah, selain melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig.
"Kerajaan berharap inisiatif itu dapat membantu golongan B40 untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 dan melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten serta selamat," katanya.