fb fb fb fb fb

Tempoh proses permit masuk ditambah baik, ambil masa maksimum enam bulan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KULIM, 25 Januari- Tempoh proses permohonan permit masuk kini ditambah baik dengan hanya mengambil masa maksimum enam bulan, selepas dokumen lengkap dikemukakan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses baharu tersebut memberi keutamaan kepada pasangan warganegara yang berkahwin dengan warga asing.

"Apabila saya lakukan beberapa anjakan ini, hari ini saya umumkan tentang penambahbaikan pengurusan permit masuk pertama kita akan proses mengikut piagam pelanggan yang lebih realistik iaitu enam bulan setelah permohonan lengkap dikemukakan.

"Kita akan proses dokumen seperti biasa dan juga keputusan tapisan keselamatan oleh polis sebelum ini berlaku kes permohonan permit masuk suami warga asing, isteri warga tempatan.

"Ada kes yang tepaksa menunggu 15 tahun, ada juga 17 tahun, 12 tahun dan 10 tahun. Kali ini kita kata dalam tempoh masa enam apabila dokumen permohonan dilengkapkan dan selesai proses tapisan keselamatan, pemohon akan dapat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan di sini.

Dalam pada itu prosedur operasi standard (SOP) baharu turut diperkenalkan bagi memandu pemohon dengan jelas, termasuk membantu dari segi senarai semak dokumen dan panduan permohonan.

Dari tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 23,674 permohonan diproses dengan 52 peratus daripadanya telah diluluskan, manakala 48 peratus lagi ditolak.

Dalam perkembangan lain kelulusan muktamad terhadap permohonan Persatuan Bolasepak Malaysi (FAM) berhubung kerakyatan empat pemain warisan akan diketahui seawal tempoh satu bulan.

Saifuddin berkata proses semakan akan dilaksanakan bagi menentukan kategori permohonan sama ada mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia ataupun tidak.

"Pertama saya akan semak sama ada enam itu dalam senarai kategori mempunyai pertalian darah atau tidak. Kita akan lihat sama ada waris mereka sama ada mak atau datuk yang merupakan rakyat Malaysia.

"Sekiranya memenuhi syarat ia akan diproses bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan. tetapi kalau kita semak tidak ada langsung pertalian darah maka ia akan diproses mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Hari ini FAM menjelaskan bahawa empat pemain warisan baru yang bakal memperkuatkan Harimau Malaya sedang menunggu kelulusan muktamad daripada pihak kerajaan Malaysia.

Badan induk itu turut mengesahkan bahawa proses pendokumentasian bagi empat pemain lain sedang dilengkapkan. 

Pengendali skuad bola sepak negara Peter Cklamovski itu diundi dalam Kumpulan F bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 bersama Nepal, Laos, dan Vietnam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI