TANAH MERAH, 25 Januari- Pengguna kenderaan yang gagal melunaskan saman melibatkan tiga notis kesalahan jalan raya yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal berdepan tindakan lebih berat termasuk akan disenaraihitamkan bermula Julai depan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jabatan itu sedang melaksanakan pemutihan tunggakan saman membabitkan pelbagai kesalahan melalui Kadar Kompaun Khas yang ditawarkan awal Januari lalu.
"Kita gesa rakyat Malaysia untuk membuat pembayaran melalui pelbagai saluran sama ada pergi ke kaunter JPJ atau melalui aplikasi MyJPJ yang sekarang ini telah dibuka untuk pembayaran saman sehingga 30 Jun ini.
"Kadar kompaun khas sebanyak RM150 sahaja berbanding RM300 sebelum ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Sumbangan Skuad Ihsan MADANI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dan Pakaian Seragam Sekolah kepada penduduk terjejas banjir yang disempurnakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior di sini.
Menurut Aedy Fadly sehingga 23 Januari lalu sebanyak RM12.5 juta kutipan saman sudah dilunaskan membabitkan 83,000 saman pelbagai kesalahan.
Sebelum ini media melaporkan JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula 2 Januari hingga 30 Jun depan.
Kadar berkenaan melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).