fb fb fb fb fb

67 zon perindustrian dikenal pasti, laksana rangkaian 5G

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil/ BERNAMA

AYER KEROH, 25 Januari- Kementerian Komunikasi telah mengenal pasti 67 kawasan zon perindustrian yang akan dilengkapi dengan rangkaian 5G.

Lokasi tersebut dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kawasan berkenaan diberi tumpuan untuk manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Ada 67 lokasi yang telah dikenal pasti dengan kerjasama MITI. Hasrat kita inilah kawasan-kawasan yang kita akan berikan keutamaan sebab manfaat 5G untuk syarikat PMKS ini agak tinggi. Jadi kita hendak pastikan kilang-kilang yang boleh mendapat manfaat kesalinghubungan yang pantas melalui 5G.

"Kedua, kita lihat dari segi penebusan ataupun penembusan 5G dalam kalangan pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia telah mencapai 53.3 peratus hampir 53.4 peratus.

"Ini satu pencapaian yang baik dan kita lihat setiap bulan peningkatannya, secara purata dalam dua hingga tiga peratus", katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerja Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi 2025.

Ia secara tidak langsung menyaksikan keyakinan pengguna untuk memilih rangkaian 5G.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi komited memastikan masyarakat di kawasan pedalaman menerima kemudahan sekurang-kurangnya liputan 4G, sebelum ditingkatkan kepada 5G.

Sebagai langkah pertama, Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu dilaksana, yang dijadualkan untuk menyelesaikan kesemua 1,661 menara menjelang Jun tahun ini.

"Saya jangka antara dua rangkaian 5G, mereka mungkin akan melihat hubungan strategik untuk membolehkan menara-menara di kawasan pedalaman ini dimanfaatkan untuk tujuan 5G. Tapi itu saya nampak fasa berikutnya.

"Jadi, kita nak pastikan menara-menara yang telah dirancang lengkap, kita juga akan melaksanakan Program JENDELA fasa dua melibatkan antara 2500 hingga 3000 lokasi di kawasan pedalaman yang langsung tidak ada internet. Jadi usaha pertama, kita bawa internet ke tempat-tempat ini dahulu, kemudian kita boleh lengkapkan dengan 5G", katanya.

ROSLINA BINTI DIN