fb fb fb fb fb

KPDN terima 183 aduan bulan pertama 2025, bukti kesedaran hak pengguna

Tinjauan ke sebuah pasar raya dekat Seberang Jaya sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025

SEBERANG JAYA, 25 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 183 aduan dalam tempoh kurang sebulan pada awal tahun 2025.

Perkara itu membuktikan tahap kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan hak sebagai pengguna meningkat.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata aduan terbabit melibatkan 68 berkenan harga barangan dan perkhidmatan, bekalan barang kawalan (20) dan aduan-aduan lain (95).

"Kita ada pelbagai operasi seperti Ops Kesan dan Ops Tiris yang mempunyai skop operasi tersendiri. Kita letakkan pegawai untuk menangani aduan tersebut contohnya macam sekarang musim perayaan.

"Jadi pemantauan akan terus dilakukan dan ini sebahagian daripada tugasan KPDN dan pihak kami perlu memastikan setiap aduan diambil, diperiksa dan akan melakukan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke sebuah pasar raya dekat Seberang Jaya sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 di sini.

Kesemua pegawai bertugas akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik membabitkan pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

Bagi kawasan Semenanjung SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 membabitkan 16 jenis barangan antaranya bawang kuning besar, bawang merah besar import, cili merah, babi hidup serta daging babi.

Dalam pada itu pihaknya juga perlu menyelesaikan kesemua aduan yang diterima dalam tempoh 14 hari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI