KUCHING, 8 Januari- Kementerian Industri Makanan, Komoditi, dan Pembagunan Wilayah Sarawak, M-FICORD akan membantu penternak-penternak udang di Sarawak untuk mendapatkan pensijilan alam sekitar, sosial dan tadbir urus ESG.
Menurut Menterinya Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom, kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin dari sudut nasihat teknikal dan sokongan kewangan untuk pembinaan kemudahan asas.
Katanya pensijilan ESG membolehkan keluaran udang tersebut dijual dalam pasaran khusus ke negara-negara tertentu berbanding secara traditional sekarang yang terhad kepada pasaran tempatan.
Menerusi langkah berkenaan sektor ternakan udang di Sarawak mempunyai masa depan dengan mengamalkan ekonomi sekular selain menggunakan kaedah teknologi ternakan pintar.
Berbeza dengan kaedah tradisional sisa air kolam udang ini akan dikitar semula untuk industri ternakan lain sebelum ditapis menggunakan pokok bakau dan rumpai laut jenis "Janggut Duyung" untuk diguna semula dan tidak dilepaskan ke sungai.
"Perlahan-lahan kita boleh promosikan atau buat publisiti dari segi pematuhan ESG dan sebagainya, tapi untuk mereka masuk ke pasaran tersebut dengan fakta bahawa mereka mematuhi ESG adalah jauh lebih mudah. Itu kelebihan mereka sekarang.
"Kemudian kita boleh bincangkan soal ringgit dan sen, mungkin boleh dapat harga yang lebih baik berbanding yang lain di rantau ini. Mungkin juga mereka satu-satunya, percubaan pertama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Program Penuaian Udang di Loba Stoh Rambungan, Lundu untuk Rambungan Aqua Life, Sendirian Berhad dekat Kuching.
Ladang ternakan udang dalam percubaan ESG pertama di Sarawak itu diusahakan ditapak seluas 297 hektar yang berupaya menampung sehingga 50 kolam udang dengan sasaran keluaran sehigga 1,300 tan metrik dengan anggaran nilai pasaran RM27 juta menjelang 2030.
Hadir sama, Penasihat Premier Sarawak M-FICORD Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Martin Ben dan Ketua Pegawai Eksekutif Rambungan Aqua Life Sim Ing Jye.