fb fb fb fb fb

TEKUN salur RM995 juta kepada 45,600 usahawan seluruh negara

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan (tengah) bercakap ketika sidang media selepas melakukan kunjungan hormat di Ibu Pejabat TEKUN Nasional hari ini/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Sebanyak RM995 juta disalurkan kepada 45, 600 usahawan di seluruh negara untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, pembiayaan yang diperuntukan TEKUN Nasional itu mampu membantu mereka mengembangkan perusahaan ke peringkat lebih tinggi.

“Berdasarkan taklimat ringkas dan padat daripada TEKUN Nasional yang saya dengar pada hari ini, didapati terdapat usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) mampu menjadi usahawan daripada hasil niaga mereka.

“Antaranya lelaki OKU kaum Melayu yang mempunyai bengkel kereta, dan lagi satu, lelaki kaum India boleh menjadi jutawan disebabkan adanya pinjaman dan pertolongan yang disalurkan oleh TEKUN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat di Ibu Pejabat TEKUN Nasional, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd. Ghani.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, jumlah keseluruhan cawangan TEKUN Nasional di seluruh negara sebanyak 173 buah berbanding 171 cawangan sebelum ini.

Katanya, TEKUN Nasional bakal menambahkan lagi dua cawangannya di Sabah.

GRACE AISYAH KEDAYAN