fb fb fb fb fb

Teknologi Rapid DNA, identifikasi mangsa bencana lebih cepat - pakar

Foto hiasan/RTM

SEREMBAN, 26 November - Malaysia perlu bergerak ke arah proses Identifikasi Mangsa Bencana (Disaster Victim Identification - DVI) yang lebih pantas dan efisien dengan mengguna pakai teknologi DNA Pantas (Rapid DNA) yang mampu mengesahkan identiti mangsa dalam tempoh seawal 90 minit.

Saranan disuarakan pakar dan profesional agensi penguatkuasaan pada seminar kebangsaan bertajuk ‘Adopting a New Approach in Disaster Victim Identification via Rapid DNA’ anjuran Crime Science Institute (CSI), Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) yang berlangsung di Kampus ELMU, Bandar Enstek, Nilai.

Menurut Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, CSI ditubuhkan untuk memacu inovasi dalam sains jenayah dengan meningkatkan keupayaan forensik negara, memperkukuh penguatkuasaan berasaskan bukti serta menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal.

“CSI bertindak sebagai jambatan antara akademik, agensi penguatkuasaan, pakar industri dan pembuat dasar, dengan kepakaran dalam bidang analitik DNA, biometrik, penyiasatan forensik dan forensik jenayah kewangan.

“Kerjasama global dengan Foster & Freeman, Innovatrics, Staffordshire University, Eskan, IPS Italy dan lain-lain meletakkan Malaysia pada landasan untuk membina keupayaan forensik bertaraf dunia untuk manfaat negara dan serantau,” katanya ketika merasmikan seminar tersebut.

Tambahnya, bencana alam, tragedi pengangkutan, insiden korban besar-besaran dan cabaran rentas sempadan telah memberi tekanan baharu kepada agensi penguatkuasaan negara.

“Walaupun kaedah forensik sedia ada masih boleh digunakan, ia selalunya memakan masa dan sumber yang banyak. Teknologi DNA Pantas menawarkan penyelesaian transformasi, bukan untuk menggantikan kaedah tradisional, tetapi melengkapkannya,” tambah beliau.

Dr. Kassim turut menegaskan bahawa ELMU melalui CSI bersedia menyokong pelaksanaan di peringkat nasional, dengan potensi kerjasama melibatkan Jabatan Kimia Malaysia, Forensik PDRM, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.

“Perkembangan teknologi global turut dijadikan rujukan. Negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Ukraine, United Kingdom, Australia dan Belanda telah melaksanakan penggunaan DNA Pantas melalui operasi dan ujian menyeluruh. Pengalaman mereka menjadi panduan untuk Malaysia merangka pelan pelaksanaan nasional,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Naib Canselor (Enterprise & External Engagement) ELMU, Dato’ Dr. Yew Chong Hooi menegaskan bahawa Malaysia juga perlu melabur dalam pembangunan tenaga mahir untuk mengendalikan sistem forensik moden.

Beliau berkata, pengetahuan dan sokongan khidmat nasihat akan membantu agensi penguatkuasaan menyesuaikan diri dengan cabaran yang berubah dengan pantas, terutamanya dalam jenayah digital, respons bencana dan penyiasatan berasaskan teknologi.

“Aktiviti jenayah dan ancaman bencana berkembang dengan cepat. Sistem dan tenaga kerja kita perlu berkembang pada kadar yang sama,” katanya.


2611 RAPIDDAN2
Dari kira, Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, Timb. Naib Canselor ELMU, Dato’ Dr. Yew Chong Hooi dan Pengarah Projek CSI, Kurian Thomas/RTM

Penyelaras Program Pengurusan Bencana, School of Leadership and Resilience, ELMU, Dr. Rabieahtul Abu Bakar, dalam kertas kerja bertajuk Strengthening Malaysia’s Disaster Risk Reduction Framework through Integrated Disaster Victim Identification (DVI) Systems berkata, meningkatkan kemampuan DVI negara bukan hanya isu teknikal tetapi juga kemanusiaan.

Identifikasi lebih pantas, katanya, membantu keluarga memperoleh menangani tekanan emosi dan memastikan mangsa diberikan penghormatan sewajarnya.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan hanya akan tercapai jika agensi kerajaan, makmal forensik, perkhidmatan kecemasan, NGO dan kumpulan komuniti saling bekerjasama.

“Kesiapsiagaan Malaysia bergantung kepada keputusan yang kita buat hari ini. Kita mesti membina sistem bersepadu yang memanfaatkan teknologi untuk membantu keluarga dengan penuh hormat dan kasih sayang,” katanya.

Pakar dari United Kingdom, Lewis Shaw, yang mempunyai 15 tahun pengalaman makmal dan lapangan dalam bidang forensik DNA, berkongsi contoh penggunaan DNA Pantas secara berkesan di zon bencana, tempat kejadian jenayah dan operasi kawalan sempadan luar negara.

Beliau berkata, sistem itu mampu menghasilkan keputusan dalam kira-kira 90 minit dan boleh dikendalikan oleh kakitangan bukan pakar, menjadikannya sesuai digunakan secara terus di lokasi.

“Di peringkat antarabangsa, DNA Pantas telah memudahkan pengesahan identiti, penyiasatan pemerdagangan manusia, kes imigresen dan operasi kepolisan peka masa,” katanya.

Shaw menambah, kelebihannya yang paling besar ialah mengurangkan tempoh menunggu keluarga dan mengurangkan beban logistik semasa respons bencana berskala besar.

Pengarah Projek CSI, Kurian Thomas, dalam ucapan penutupnya berkata, Rapid DNA harus dilihat sebagai usaha memperkukuh kemampuan forensik Malaysia.

“Dengan menyediakan keputusan awal yang pantas, pakar makmal dapat menumpukan perhatian kepada analisis yang kompleks dan berkeperluan tinggi,” katanya.

Beliau mencadangkan Malaysia bekerja ke arah pelan nasional berstruktur melibatkan kerjasama antara agensi, penyelidikan dan pelan hala tuju pelaksanaan yang jelas.

Lebih 80 peserta dari agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan, akademia dan industri menghadiri seminar sulung yang dianjurkan oleh universiti penguatkuasaan pertama di rantau Asia Pasifik.

MAT YUNUS BIN SABRI