SERDANG, 4 Ogos - Pembangunan ekosistem teknologi penerbangan Beyond Visual Line of Sight (BVLOS) wajar diperluas ke sektor strategik termasuk logistik, pengurusan bencana, pertanian pintar dan penjagaan kesihatan digital.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, teknologi dron generasi baharu itu berpotensi besar membuka laluan kepada pelbagai aplikasi dunia sebenar termasuk mobiliti udara bandar, logistik, pertanian tepat dan pemeriksaan infrastruktur.
Ia turut berperanan dalam operasi tindak balas bencana serta penghantaran ubat-ubatan ke kawasan luar bandar.
"Teknologi yang dahulunya hanya wujud dalam imaginasi kini semakin menjadi realiti. Namun, ia bergantung kepada keupayaan kita untuk menyediakan ekosistem yang kukuh, tersusun dan dikawal selia secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) di sini hari ini.
Teknologi 5G berkelajuan tinggi merupakan pemacu utama kepada sistem masa nyata berasaskan kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem dron tanpa pemandu.
"Dengan kependaman ultra rendah dan jalur lebar yang tinggi, 5G membolehkan dron menerima data serta membuat keputusan dalam milisaat. Ini secara langsung meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan operasi," katanya lagi.
Usaha itu bertepatan dengan hala tuju Malaysia sebagai peneraju teknologi masa hadapan di rantau ini.
Menerusi MoU itu, ia menandakan satu kerjasama strategik yang dijangka membuka lembaran baharu dalam pembangunan teknologi dron negara, khususnya dalam teknologi penerbangan BVLOS.
Matlamat utama MoU itu adalah untuk mewujudkan ruang uji kaji dunia sebenar bagi membangun, menguji dan memperluas penggunaan teknologi masa hadapan secara selamat dan beretika.