fb fb fb fb fb

Tekanan jualan berterusan dorong Bursa Malaysia susut pada sesi dagangan tengah hari

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah berikutan tekanan jualan yang berterusan selain menjejaki prestasi lemah semalaman di Wall Street pada minggu lepas, kata seorang penganalisis.

Pada waktu rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.49 mata kepada 1,475.05 daripada 1,478.54 pada penutupan Jumaat lepas.

Indeks utama itu dibuka 1.82 mata lebih rendah pagi ini pada 1,476.72 dan berlegar antara 1,471.57 dan 1,476.72 sepanjang sesi awal.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 438 berbanding 309, manakala 412 kaunter tidak berubah, 1,086 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM829.72 juta.

Dalam satu nota, Public Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI dibuka rendah hari ini apabila saham Amerika Syarikat (AS) merosot untuk minggu kedua berturut-turut selepas pelabur memberikan perhatian terhadap kecenderungan bank pusat di AS dan Eropah menaikkan kadar faedah. Ini sekali gus mencetuskan jangkaan kadar faedah akan kekal lebih tinggi untuk lebih lama.

“S&P 500 Wall Street susut 2.1 peratus pada minggu berkenaan termasuk penurunan 1.1 peratus pada hari Jumaat, manakala Komposit Nasdaq yang berteknologi tinggi ditutup satu peratus lebih rendah, menjadikan kejatuhannya untuk minggu ini kepada 2.7 peratus.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata persidangan semula parlimen Malaysia serta undi percaya untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membina keyakinan pelabur, sambil menambah risiko penurunan boleh dihadkan dengan aktiviti mengemaskini akaun yang berterusan.

Untuk komoditi pula, ia berkata minyak mentah Brent berlegar melebihi US$79, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras RM3,900.

“Kami masih berpihak kepada sektor minyak dan gas kerana pertumbuhan pendapatan yang kukuh baru-baru ini. Selain itu, kami menjangkakan segmen pembinaan dan bahan binaan akan menjadi tumpuan sebelum pembentangan semula Bajet 2023,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.71 dan Petronas Chemicals susut dua sen menjadi RM8.49, manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.39, CIMB menokok dua sen kepada RM5.80 dan TNB lebih tinggi sembilan sen kepada RM9.24.

Bagi saham aktif, Sunview menokok 5.5 sen kepada 56 sen dan Infoline Tec naik 21.5 sen kepada RM1.06, manakala Advance Synergy, Borneo Oil dan Serba Dinamik tidak berubah, masing-masing pada 22 sen, 2.5 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 16.38 mata kepada 10,590.83, Indeks FBMT 100 susut 16.70 mata menjadi 10,295.59 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih lemah 26.34 mata kepada 10,722.08.

Sementara itu, Indeks FBM 70 memperoleh 12.49 mata menjadi 12,939.15. dan Indeks ACE FBM memperoleh 6.19 mata kepada 5,468.13.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 149.02 mata kepada 6,888.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.11 mata menjadi 181.15, Indeks Tenaga turun 1.55 mata kepada 789.76, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan 3.97 mata rendah pada 16,559.53. - BERNAMA


(FOTO HIASAN)

Media Baharu