fb fb fb fb fb

239 lokasi cerun sangat berisiko tinggi dikenal pasti di Perak

(FOTO FAIL)

IPOH, 19 Disember - Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak mengenal pasti 239 lokasi cerun sebagai sangat berisiko tinggi, daripada keseluruhan sebanyak 3,431 lokasi cerun yang dikenal pasti.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, 211 lokasi berada dalam kategori berisiko tinggi, 642 sederhana, 777 berisiko rendah dan 1,562 sangat rendah.

Tiga laluan jalan juga dikategorikan sebagai sangat kritikal di Perak iaitu Jalan Tapah-Cameron Highlands (FT059), Jalan Baling-Gerik, Lebuh Raya Timur-Barat (FT004), dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (FT185).

Laluan Jalan Tapah-Cameron Highlands di daerah Batang Padang mencatatkan jumlah cerun berisiko sangat tinggi paling banyak iaitu sebanyak 128 lokasi, dengan 59 lokasi berisiko tinggi.

"Belum sampai ke tahap kita tutup lebuhraya tersebut, buat masa ini tiada tanda-tanda untuk jadi lebih parah maka ia masih boleh digunakan cuma kita menasihati pengguna jalan raya supaya tidak berkelah bersama anak bini ke di tempat-tempat berisiko itu," kata Mohammad Nizar di sini.

Sementara itu untuk tahun ini, sebanyak 61 lokasi cerun di Jalan Persekutuan yang mengalami kegagalan telah dibaiki iaitu melibatkan daerah Batang Padang, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar dengan kos pembaikan sebanyak RM103 juta.

(Mohammad Nizar bercakap dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini)

Manakala, bagi jalan negeri sebanyak RM40 juta dibelanjakan bagi membaiki 10 lokasi cerun.

Sebagai menjamin keselamatan pengguna, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan dan jalan Negeri sentiasa menjalankan penyelenggaraan rutin iaitu rondaan terutama di laluan-laluan kritikal.

Media Baharu