fb fb fb fb fb

TDM sentiasa bersedia bantu NADMA dalam misi bantuan banjir

KUALA LUMPUR, 1 Mac - Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersedia untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam misi bantuan kepada mangsa bencana alam melalui pelbagai Kor dan Rejimen di bawah perkhidmatan Tentera Darat.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, bantuan itu termasuk melibatkan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD).

Dalam situasi bencana, RAJD berperanan memberikan bantuan sokongan dari aspek kejuruteraan medan seperti membina jambatan sementara, pembinaan laluan alternatif, pembersihan halangan serta bantuan penyediaan perkhidmatan penting seperti bekalan elektrik dan air serta telekomunikasi.

Manakala peranan perkhidmatan KKD pula adalah memberikan bantuan perubatan kecemasan dan juga kawalan penyakit berjangkit bagi membantu Kementerian Kesihatan.

Pelaksanaan ini dilakukan dengan mengaturgerakkan kumpulan perubatan hadapan dan membina hospital medan berdasarkan keperluan semasa selain melaksanakan pembedahan kecemasan di lapangan sekiranya diperlukan.

(Gambar fail)

"Dari aspek kelengkapan dan peralatan pula, perolehan aset Tentera Darat adalah lebih memfokuskan kepada kelengkapan dan peralatan pertahanan
negara,"

"Bagaimanapun, sebahagian daripada kelengkapan dan peralatan tersebut juga boleh digunakan bagi tugas-tugas untuk menangani bencana alam. Antara peralatan tersebut adalah Bot Tempur, Outboard Motor, Life Jacket, Trak 3 Tan, Trak 5 Tan, Trak 7 Tan dan peralatan kejuruteraan medan seperti Tipper, Backhoe, Excavator, Bulldozer serta peralatan perubatan seperti peralatan pertolongan cemas, peralatan perlindungan diri, peralatan perubatan dan pembedahan untuk hospital medan, " jelas Ikmal Hisham semasa menjawab pertanyaan wakil Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Tambahnya, secara umum ke semua aset tersebut adalah tidak mencukupi bagi menampung bencana berskala besar.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan dengan persetujuan Kementerian Kewangan bersedia untuk terus melaksanakan perolehan pada setiap tahun bagi meningkatkan kesiapsiagaan ATM sama ada bagi melaksanakan peranan utamanya dalam menjaga keselamatan negara atau misi sekunder dalam memberikan bantuan ketika bencana.

Media Baharu