fb fb fb fb fb

Pulau Pinang - Perak bincang bekalan air mentah dari Sungai Perak petang ini

(FOTO PBAPP)

IPOH, 1 Mac- Satu perbincangan mengenai pembekalan air mentah dari Sungai Perak seperti dicadangkan bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) diadakan petang ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut mengesahkan perbincangan itu dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini.

Namun butiran perbincangan tidak dimaklumkan.

"Hari ini, petang ini mesyuarat. Ya lah kita tidak tahu lagi, dia (Chow Kon Yeow) nak jumpa untuk perbincangan mengenai perkara apa, bila dah jumpa akan dimaklumkan, kata Saarani selepas Majlis Pelancaran Logo Jelajah Denai Sungai Negeri Perak Sejahtera 2022 di sini.

(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/MYKMU.NET)

Projek SPRWTS dicadangkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memanfaatkan sumber air kedua Pulau Pinang di Sungai Perak.

Ia bagi memenuhi keperluan permintaan air untuk penduduk Pulau Pinang dan utara Perak sehingga tahun 2025.

Pada 2019, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP dilaporkan bercadang untuk membeli air mentah dari Sungai Perak, namun Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mahu menjual air terawat.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ketika itu mempertimbangkan kedua-dua cadangan oleh kerajaan negeri untuk menentukan pilihan terbaik yang akan menawarkan faedah bersama termasuk pilihan ketiga iaitu 'hibrid' yang menggabungkan pemindahan air mentah dan air terawat ke Pulau Pinang dan infrastruktur bekalan air Perak.

Media Baharu