KUALA LUMPUR, 1 Mac- Kutipan tol secara RFID di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dijangka dilaksanakan mulai penghujung Jun ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini kutipan tol secara RFID telah pun dilaksanakan di 28 buah lebuh raya.
"Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Multi Lane Free Flow (MLFF) dengan menggunakan pendekatan teknologi Radio Frequency Identification (RFID). Ia jangka akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025.
"Dalam usaha pihak kementerian menerajui inisiatif dalam memperkenalkan Sistem Kutipan Tol di Lebuh raya secara elektronik sepenuhnya, pelbagai kajian, sesi libat urus dan dialog telah diadakan bersama pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas serta mencadangkan penyelesaian terbaik berhubung kaedah atau teknologi yang akan diguna pakai," katanya.
(Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini)
Ujarnya lagi, pemilihan teknologi RFID merupakan pilihan paling sesuai kerana ianya menggunakan gelombang radio yang mempunyai had pengesanan yang lebih luas di samping kos yang lebih rendah.
Fadillah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.