fb fb fb fb fb

Agong beri perkenan 12 akta diluluskan Parlimen - Speaker

PARLIMEN, 1 Mac- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan 12 akta yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata ia membabitkan Akta Perbekalan 2022 (Belanjawan 2022), Akta Perihal Pemerdagangan (Pindaan) 2021, Akta Ordinan Peguambela (Sabah) (Pindaan) 2021, Akta Kewangan 2021 dan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021.

Akta yang turut diperkenan Seri Paduka ialah Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022,Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021, Akta Perlembagaan (Pindaan) 2021 (berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)), Akta Hak Cipta (Pindaan) 2021, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021.

Azhar berkata demikian pada permulaan persidangan Dewan Rakyat hari ini. Al-Sultan Abdullah berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 itu semalam.


(Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada permulaan persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini)

Azhar turut memaklumkan dewan mengenai perutusan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyatakan persetujuan Dewan Negara terhadap kesemua 16 rang udang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

Sementara itu, Azhar mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat supaya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berlangsung persidangan Parlimen bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19.

"Saya mengingatkan Ahli Yang Berhormat semua agar memakai pelitup muka kecuali ketika berucap dalam Dewan Rakyat. Ahli-ahli Berhormat juga perlu menjalani saringan COVID-19 setiap Isnin dan Rabu di Parlimen," katanya. – BERNAMA

Media Baharu