fb fb fb fb fb

Tawar rawatan estetik guna peralatan dan ubat berjadual, empat premis kecantikan diserbu

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Empat premis kecantikan, dua di Kuala Lumpur, dan masing-masing satu di Selangor dan Pulau Pinang diserbu kerana menyediakan perkhidmatan rawatan estetik melibatkan penggunaan peralatan-peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual.

Serbuan dilakukan dalam operasi bersepadu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Jabatan Imigresen Malaysia yang diadakan semalam.

KKM melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan bertindak melalui maklumat yang disalurkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika serbuan dilakukan, KKM telah menemui beberapa peralatan perubatan serta ubat-ubat yang disyaki digunakan dalam rawatan estetik yang hanya boleh digunakan oleh seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Peralatan pergigian yang disyaki digunakan untuk tujuan rawatan telah turut ditemui di premis-premis berkenaan.

"Siasatan awal KKM mendapati premis-premis tersebut telah menyediakan rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berdaftar atau berlesen dengan KKM dan dijalankan oleh pengamal perubatan berkelayakan," kata Dr. Noor Hisham.

Kes disiasat bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan/atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan bawah Seksyen 5, Akta yang sama.

Indiividu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Manakala, bagi  kesalahan yang dilakukan oleh  pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM500,000.

Dr Noor Hisham,  turut menasihatkan orang awam yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan estetik, supaya mendapatkan rawatan di KPJKS berdaftar atau berlesen bawah Akta 586 melalui khidmat pengamal perubatan yang mempunyai Letter of Credentialing and Previleging (LCP) bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diterima adalah selamat dan berkualiti.


Media Baharu