KUANTAN, 22 Februari- Polis Pahang akan meningkatkan pemantauan di destinasi-destinasi pelancongan tumpuan pengunjung di seluruh negeri itu, berikutan peningkatan wabak pandemik COVID-19.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata pemantauan akan dibuat bagi memastikan setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard SOP yang ditetapkan, termasuk telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dan mengimbas melalui aplikasi MySejahtera.
Jelas beliau, sebagai contoh bagi pengunjung yang menuju ke Pulau Tioman melalui jeti Tanjung Gemok, Rompin anggota polis telah ditempatkan di jeti berkenaan, selain di pulau peranginan itu, bagi operasi pemantauan.
Dua hari lalu katanya, seorang pengunjung pulau berkenaan dikenakan kompaun kerana melanggar SOP ditetapkan iaitu tidak memiliki sijil vaksinasi COVID-19.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian `Pahang Pride Student' di Kuantan.
Beliau dalam pada itu, beliau menyeru agar masyarakat di negeri ini agar terus mematuhi SOP ditetapkan dan sentiasa mengambil langkah berwaspada, berikutan peningkatan jumlah kes positif COVID-19.
Tegasnya, penguatkuasaan berterusan dilakukan pihak polis di seluruh negeri, bagi memastikan SOP dipatuhi.