fb fb fb fb fb

Kelantan jadi laluan terbaharu aktiviti penyeludupan PATI Myanmar

PASIR MAS, 22 Februari- Kawasan sempadan Malaysia – Thailand di Kelantan kini menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) khususnya dari Myammar.

Perkara itu didedahkan Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa Superintendan Mat Shukor Yusof, susulan peningkatan ketara jumlah tangkapan melibatkan PATI warganegara itu sejak kebelakangan ini.

Sejak Januari hingga semalam seramai 99 PATI Myanmar telah ditahan anggota keselamatan itu kerana memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Jelas beliau, situasi itu dibimbangi kerana berbanding sebelum ini penyeludup lebih cenderung memilih laluan di sebelah pantai barat untuk melakukan kegiatan berkenaan.

Ekoran itu kajian menyeluruh sedang dijalankan termasuk meningkatkan perkongsian maklumat bersama pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti punca utama ianya berlaku.

Pada masa sama, pihaknya tidak menolak keadaan itu juga ada kaitan dengan pendedahan pihak berkuasa Thailand terhadap kewujudan satu sindiket penyeludupan migran di Wilayah Songkhla, Thailand, baru – baru ini.

"Saya cuba mendapatkan maklumat daripada pihak Thailand melalui cawangan khas kita, macam mana, bagaimana dan berapa jumlah, kenapa Kelantan dah jadi laluan terbaru dan kita tidak mahu jadi 'trend', isunya apabila kita dapat tangkap 'runner' atau 'transporter' ni biasanya mereka bukanlah dalang sebenar, mereka tukang bawa sahaja,"kata Mat Shukor Yusof

Beliau bercakap pada sidang media berhubung kejayaan tangkapan PATI menerusi Ops Wawasan di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, Rantau Panjang.

Dalam kejadian semalam, lima PATI warganegara Myanmar dan dua warganegara China di tahan semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) PGA di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang dalam dua kenderaan berasingan antara jam 11.15 pagi dan 11.20 pagi.

Turut di tahan dua lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak warga tempatan yang berada di dalam kedua–dua MPV tersebut yang datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Panglima Bayu, Tanah Merah.

Ke semua tahanan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 26 (J) Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Media Baharu