fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja perkukuh hubungan yang terjalin sejak 65 tahun lalu

PNOM PENH, 22 Februari- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kemboja dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan yang terjalin sejak 65 tahun lalu, ke tahap lebih matang serta saling menguntungkan.

Malah, hubungan Kuala Lumpur dan Phnom Penh dianggap sebagai sahabat yang akrab dan negara jiran terpenting sama ada di peringkat dua hala mahupun ASEAN.

Selepas Indonesia, Singapura dan Brunei, Kemboja ialah negara anggota ASEAN keempat yang akan dilawati Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Dalam rangka lawatan rasmi dua hari bermula esok, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Hun Sen.

Antara fokus perbincangan adalah beberapa isu berkaitan hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan, komoditi serta isu serantau. Juga, meneroka sektor-sektor baharu.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim, Perdana Menteri akan diberikan sambutan rasmi di Istana Keamanan Phnom Penh.

Diikuti pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya Hun Sen.

Sejurus kemudian, kedua-dua pemimpin akan mengadakan sidang media bersama.

Selain itu, Datuk Seri Ismail Sabri juga dijadual menerima kunjungan hormat Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Othman Hassan, yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di negara ini.

Di lokasi penginapan, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam dan ramah mesra dengan Keluarga Malaysia di Kemboja diikuti pertemuan bersama komuniti perniagaan Malaysia di Kemboja.

Mengambil kira situasi COVID-19, semua majlis berkenaan tertakluk kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Kemboja.

Media Baharu