fb fb fb fb fb

Pengarah bergelar Datuk Seri ditahan, dakwa beri suapan RM2 juta

KUALA LUMPUR, 23 Februari - Seorang pengarah sebuah syarikat bergelar Datuk Seri ditahan kerana didakwa memberi wang suapan sebanyak RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ia sebagai dorongan membantu syarikatnya bagi mendapat kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Wilayah Songkhla, Thailand.

Suspek ditahan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3.10 petang semalam.

Menurut sumber, SPRM telah melakukan penggeledahan di pejabat dan rumah individu berkenaan dan mengesan saksi-saksi yang terlibat.

SPRM akan membuat permohonan reman terhadap pengarah berkenaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi RTM mengesahkan penahanan individu terbabit.

Kes disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

 

Media Baharu