fb fb fb fb fb

Tawar perkhidmatan 'kereta sapu', lelaki warga Indonesia ditahan JPJ kerana salah guna lesen kenderaan Motor

ARAU, 11 Disember-Seorang lelaki warga Indonesia ditahan ketika menjalankan perkhidmatan kereta sapu di Terminal Keretapi (KTM) Arau, petang semalam.

Pasukan Operasi Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis  mendapati lelaki tersebut merupakan pelajar antarabangsa Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Kedah.

Menurut Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah, ketika ditahan lelaki tersebut sedang dalam perjalanan membawa dua orang penumpang wanita.


(Operasi oleh Pasukan Operasi Khas JPJ Perlis di Arau /Foto RTM)

Tindakan saman telah diambil bagi kesalahan Salah Guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) di bawah Seksyen 23(2) dan kesalahan Tiada Lesen Memandu di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Perkhidmatan Prebet Sapu atau menjalankan Perkhidmatan Kenderaan Awam Tanpa Permit adalah satu kesalahan yang serius kerana ianya melibatkan perlindungan insurans kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan ketika menggunakan perkhidmatan awam tanpa kebenaran.

Sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang RM 10,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Media Baharu